Hibah
Difinasi Wikipedia
Merupakan sesuatu pemberian yang dilakukan oleh seseorang kepada pihak lain yang dilakukan ketika masih hidup dan pelaksanaan pembahagiannya dilakukan semasa waktu penghibah masih hidup juga. Maksud lain hibah adalah, suatu pemberian kasih sayang yang diberikan sewaktu hidup. Di mana kita berikan harta kita kepada seseorang waktu hidup dan orang yang kita berikan itu masih hidup. Tanpa ada pembayaran yang perlu penerima itu lakukan kerana ianya adalah 100% pemberian kasih sayang. Sebagai contoh kita hibahkan sebuah rumah kepada isteri kita sebagai tanda terima kasih kerana bersama-sama ketika susah dan senang dan juga kerana mengurniakan anak.
Dalil Pensyariatan
Al-Quran
Firman Allah SWT:
فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Yang bermaksud: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 4)
Al-Hadis
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَهَادُوا تَحَابُّوا
Yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Riwayat Al-Bukhari)
Rukun
- Pemberi;
- Penerima;
- Barang yang dihibah; dan
- Sighah (lafaz akad hibah)
Syarat Pemberi
- Pemilik kepada barangan;
- Mempunyai kelayakan untuk memberi; dan
- Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya.
Syrat Penerima
- Berkelayakan menerima termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang tak sempurna akal atau OKU. Namun, penjaga atau pemegang amanah boleh dilantik bagi pihak mereka;
- Penerima wujud ketika hibah dibuat; dan
- Boleh menguasai harta yang dihibahkan (qabd).
Syarat Barang Yang Di Beri
- Wujud ketika dibuat;
- Barangan tersebut mestilah barangan yang bernilai; dan
- Mestilah daripada hak milik pemberi.
Syarat Akad
- Ijab dan qabul; dan
- Tidak bertempoh.
Kadar Harta Yang Boleh Diberi
Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu. Bahkan, menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikirannya menghibahkan keseluruhan hartanya. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya berlaku adil kepada anak-anak sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اتَّقوا اللهَ، واعدِلوا بين أولادِكم
Yang bermaksud: “Bertaqwalah kepada Allah s.w.t., dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.” (Riwayat al-Bukhari)
Elemen QABD
Qabd adalah tindakan penerima untuk menerima serahan, memegang atau menguasai barang yang dihibahkan oleh penghibah dan menjadikan barang itu milikannya. Qabd merupakan keperluan kepada hibah itu berkuatkuasa dan penerima hibah melakukan tasarruf.
Semasa Marad Al-Maut
Pemberi yang melakukan hibah dalam keadaan marad al-maut iaitu keadaan di mana pemberi hibah sedang sakit tenat atau sakit yang membawa kepada kematian, maka hibahnya tidak boleh melebihi daripada satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris. Ini memberi maksud bahawa hukum wasiat adalah terpakai. Sekiranya diberikan kepada ahli waris sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih maka ia tertakluk kepada keizinan atau persetujuan daripada waris yang lain.
Pembatalan
Hukum asal adalah memberi implikasi pemilikan yang lazim kepada penerima hibah. Oleh itu, pembatalan adalah tidak boleh dilakukan. Ia sebagaimana hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فإنَّ العائدَ في هبتِه كالكلبِ يعودُ في قيئِه
Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Namun, para fuqaha’ memberikan pengecualian iaitu dengan mengharuskan pembatalan hibah daripada seorang bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه
Yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud)
Jenis-Jenis
- Mutlak;
- Amanah; dan
- Bersyarat
Klausa Utama dalam Hibah
- Pengakuan waras fikiran dan kerelaan pemberi;
- Perisytiharan harta yang ingin dihibahkan;
- Pernyataan pemberian harta yang dihibahkan;
- Pelantikan Wasi dan Pemegang Amanah;
- Tandatangan pemberi dan saksi-saksi; dan
- Tandatangan perakuan persetujuan penerima dan saksi-saksi.
Kebaikan
- Amalan sunat yang dianjurkan oleh Islam;
- Memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturrahim;
- Pemberian semasa hidup kepada sesiapa yang dikehendaki;
- Pemberian tanpa had dan sunat menyamaratakan kepada anak-anak;
- Penghibah masih boleh menikmati harta yang dihibahkan;
- Alternatif penyelesaian masalah pembahagian secara faraid;
- Dibuat mengikut kesesuaian dan taraf hidup penerima; dan
- Perceraian tidak menjejaskan hak kepada pemberian.
Hikmah Disyariatkan
- Melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
- Membantu menampung keperluan waris atau orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik.
- Mengeratkan ikatan silaturrahim sesama ahli waris.
Hadiah Tanpa Syarat
Boleh juga di buat melalui khidmat nasihat AzuandyAradi.Com dengan bantuan pengalaman kami di dalam bidang hartanah dan harta tak alih yang lain. Klik di sini
Sila komen dan tulis idea anda dengan gembira...